Saturday 17 September 2011

:: T-A-Q-W-A ::

Salam...

Alhamdulillah, hari ini dah masuk 18 September bersamaan dengan 20 Syawal 1432H. Maksudnya, dah 20 hari kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Dan mungkin ada yang dah selesaikan puasa enam Syawal, ada yang masih cuba menghabiskan dengan saki-baki hari yang ada. Semua orang dah beraya sakan di rumah-rumah kenalan, sampaikan KL jadi jam sebab semua org sibuk keluar beraya ke sana-sini, open house di merata-rata tempat. Alhamdulillah, kita semua diberi keizinan dan kesempatan untuk sama-sama meraikan Syawal dengan penuh kesempurnaan dan kebahagiaan.

Bila bercerita tentang Syawal, janganla pula kita lupa pada Ramadhan yang sudah berlalu. Dan bila kita membuka cerita tentang Ramadhan, satu perkataan yang menjadi simbolik kepada bulan yang penuh barakah itu...iaitu..TAQWA!

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa
(Al-Baqarah : 183)

Bila kita dengar tazkirah atau pergi mana-mana program sepanjang bulan Ramadhan, memang wajib disentuh dan diperkatakan tentang ayat yang di atas ni. Sampaikan kita pun dah boleh teringat dan terhafal ayat ni. Tapi, dalam semua tazkirah,ceramah dan program-program yang diadakan, apa sebenarnya yang hendak disampaikan dalam ayat ni? Supaya kita berpuasa? Atau supaya kita faham kenapa kita puasa?

Jawapannya adalah....supaya kita faham akan perintah puasa yang Allah wajibkan ke atas seluruh umat Islam. Dan key dia adalah..TAQWA.
Dalam ayat 183, Surah Al-Baqarah ni, endingnya disebut tentang taqwa, in which membawa makna, segala penat lelah kita,susah payah, lapar dan dahaga sepanjang bulan Ramadhan adalah untuk mencapai ketaqwaan kepada Allah. Itulah tujuan dan misi kita sepanjang bulan yang mulia itu, agar akhirnya, result dari segala amalan-amalan kita samada yang wajib atau sunat adalah mencapai ketaqwaan dengan erti yang sebenarnya.

Bukan dalam bulan Ramadhan sahaja sebenarnya kita diingatkan tentang taqwa. Tapi, setiap kali dalam khutbah Jumaat, para imam akan memulakan khutbah mereka dengan mengajak semua muslimin supaya bertaqwa pada Allah.."Ittaqullah!!!! Berbekallah kamu dan sebaik-baik bekal adalah TAQWA". Dan kalau kita lihat pada ayat-ayat sebelum ayat yang ke-183, kita dapat lihat bahawa dalam kewajipan qisas dan juga wasiat, di akhir ayatnya...Allah juga menekankan tentang taqwa. Maksudnya, dalam setiap amalan-amalan itu, outcome nya hanyalah taqwa! Kenapa penting sangat taqwa ni? Apa makna taqwa yang sebenarnya? Taqwa = iman ke??

Taqwa = iman...
Betul ke equation di atas ni? Benarkah taqwa itu adalah iman dan iman itu adalah taqwa? Kalau tak bertaqwa, tak berimanlah maksudnya?
Sebenarnya, bukan taqwa itu adalah iman, tetapi taqwa itu sebahagian daripada iman. Taqwa itu meneguhkan lagi iman kita dan taqwa adalah pelengkap kepada iman kita. Bukan bermakna manusia yang tidak bertaqwa itu tidak beriman. Tetapi manusia yang beriman itu, tidak akan sempurna dan lengkap imannya tanpa ada rasa ketaqwaan kepada Allah.

See, betapa tinggi dan pentingnya untuk kita mencapai taqwa ini. Taqwa ini adalah pemelihara kita yang sebenarnya. Dengan rasa taqwa, kita akan terpelihara daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang jahat. Seperti kata Saidina Umar r.a,
"Taqwa itu adalah seperti kamu berjalan di atas duri"

Macam mana kalau kita disuruh berjalan atas duri? Mesti kita akan berjalan dengan penuh tertib dan berhati-hati agar kita tidak terpijak mana-mana duri yang ada supaya kaki tidak terluka. Dan begitulah taqwa. Kita berhati-hati dalam melaksanakan perintah Allah dengan penuh teliti, dan meninggalkan laranganNya kerana kita tahu dan yakin Allah sedang memerhatikan kita. Ibnu Abbas pernah berkata,

“Orang yang bertaqwa ialah mereka yang sentiasa beringat akan seksaan Allah apabila meninggalkan segala perintahnya. Oleh itu, mereka tidak akan meninggalkannya dan sebaliknya melaksanakan perintahnya dengan penuh kepatuhan dan ketulusan serta sentiasa mengharapkan rahmatnya dan keredhaannya dalam semua urusan yang diperintahkannya.”


Selain itu, dalam hadis riwayat termizi, dikatakan bahawa seseorang itu tidak dapat mencapai taqwa, sehingga dia meninggalkan apa yang yang tak berdosa kerana khuatir terjerumus dalam dosa. Maknanya, dengan ketaqwaan, perkara yang shubhah, perkara yang diragui juga kita tinggalkan sama sekali, kerana kita takut ia membawa kita ke dalam dosa. Perkara yang pada asalnya tidak membawa dosa, tetapi dengan cara yang salah mampu menyumbang ke arah dosa, turut kita tinggalkan. Itulah penangan taqwa dalam diri seseorang.

Manusia ini dilahirkan dari tunjang yang sama. Nak kata kita keturunan Melayu, Cina atau apa sahaja, tapi hakikatnya, kita semua berasal dari keturunan Nabi Adam. Hitam dan putihnya kulit kita tidak menjadi kayu ukuran untuk kita mendapat nikmat Allah dan masuk ke dalam syurga. Apa yang membezakan kita semua adalah..ketaqwaan kepada Allah! Kemuliaan seseorang itu bukan terletak pada ilmunya, pada pangkatnya, pada kemewahannya, tapi ia terletak pada ketaqwaannya. Guru yang paling mulia adalah guru yang bertaqwa! Bukan guru yang mampu menghasilkan ramai pemimpin negara, bukan juga guru yang sanggup berkorban masa dan tenaga sepenuhnya agar murid-muridnya berjaya. Tapi, taqwalah yang mampu memuliakan seseorang itu. Abu Hurairah ada meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda,

“Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada bentuk atau rupa kamu, juga tidak kepada harta benda kamu. Akan tetapi, Allah swt memandang kepada hati dan amal perbuatanmu semata.” (HR. Ibn Majah).

Jelaslah! Allah muliakan kita berdasarkan amal perbuatan kita. Dan orang yang menjaga amal mereka adalah orang yang benar-benar bertaqwa pada Allah.

Jadi..apa kaitan dengan Syawal yang kita sambut dengan meriah dan berwarna-warni ni? Kaitannya adalah amalan kita sepanjang bulan Ramadhan yang lalu. Nak tahu apakah keputusan daripada amalan puasa kita selama sebulan yang lalu....lihat dan kaji ketaqwaan kita pada Allah. Jika kita memandang puasa dan amalan-amalan lain sepanjang Ramdhan hanya sebagai menyeksa diri, menahan lapar dahaga, satu adat dan tuntutan umat Islam..maka itulah yang akan kita peroleh dan rasai. Tapi, sekiranya kita memandang itu semua sebagai satu jalan dan latihan untuk kita menambah ketaqwaan kita kepada Allah..maka seperti yang Allah janjikan, " semoga kamu bertaqwa". Semoga kita beroleh ketaqwaan padaNya...Ameen..

Wallahua'lam...

No comments: