Tuesday 16 August 2011

The Intelligent Heart, The Pure Heart



Salam Ramadhan..

Alhamdulillah, dah berlalu separuh Ramadhan. Sekarang berbaki lagi separuh untuk kita teruskan perjuangan dan meningkatkan amalan di waktu-
waktu terakhir dalam bulan yang penuh barakah ini. InsyaAllah, sama-sama kita mengejar keampunan dan rahmat dari Allah dalam setiap detik kita. ^_^

So, mesti semua orang kenal dengan tajuk post untuk kali ni, The Intelligent Heart, The
Pure Heart.





Sebuah buku yang dihadiahkan kepada ahli WIFI sbg peneman dan 'pengisi masa lapang' kita pada waktu Summer yang memang SANGAT LAPANG.hehe.. Alhamdulillah, dah selamat meng'khatam'kan buku ni. Walaupun mengambil masa yang agak lama..sebab sayala orang pertama yang dapat buku ni (maklumla..birthday paling awal kan!! :D ), tapi akhirnya tercapai juga cita-cita untuk menghabiskannya.

Jadi, nak berkongsi sedikit apa yang saya dapat dari buku ini. Walaupun bukunya ditulis dalam bahasa Inggeris, tapi disebabkan markah Bahasa Melayu saya sentiasa lebih tinggi dari markah Bahasa Inggeris, maka..post ini akan ditulis dalam Bahasa Melayu. :)

Apa yang menarik tentang buku ini??
Yang paling menarik tentang buku ni ialah...kerana ia menceritakan tentang HATI. Satu benda yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan setiap amalan dan tingkah laku kita, seperti dalam hadis Rasulullah S.A.W,

Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rosak, maka seluruh tubuh itu pun rosak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.‘” (HR Bukhari)

Hati ini adalah satu 'indicator' yang ada dalam badan kita. Indicator yang membawa kita ke arah tuju yang kita pilih. Setiap amalan kita, bermula dari HATI kerana setiap amalan itu berdasarkan niat kita dan niat kita berasaskan pilihan hati kita.
Semua orang tahu yang sangat susah untuk kita menjaga hati kita dari terus 'mati'. Tapi, apa yang menariknya tentang hati ini ialah..fitrahnya adalah ke arah kebaikan.

Dan dari Wabishah bin Ma’bad rodhiallohu ‘anhu dia berkata: Aku datang kepada Rasulullah , beliau bersabda: “Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?” Aku berkata,” Ya.” Beliau bersabda, “Bertanyalah kepada hatimu. Kebajikan adalah apa yang menjadikan tenang jiwa dan hati, sedangkan dosa adalah apa yang menggelisahkan jiwa dan menimbulkan keraguan dalam hati, meskipun orang-orang terus membenarkanmu.” (Hadits hasan yang kami riwayatkan dari Musnad Imam Ahmad bin Hambal dan Musnad Imam Ad-Darimi dengan sanad hasan)

Satu perkara yang perlu kita ingat ialah, 'baja Iman ditanam di dalam hati dan hati hendaklah kuat rohaninya agar Iman boleh bercambah dengan baik'. Ibn Abbas ada meriwayatkan bahawa, pada zaman dahulu, Rasulullah S.A.W mengajar umat terdahulu berkenaan Iman sebelum mengajar mereka tentang perkara lain. Ini bermaksud, Rasulullah merawat dan menjaga hati mereka sebelum memberikan tarbiyah dari sudut lain. Hati yang suci, hidup dan bersih dapat menerima tarbiyah dengan mudah dan secara terbuka berbanding hati yang kotor dan mati.

Macam mana nak tahu hati kita hidup ke..nazak ke..mati ke??

" Jika kita tidak berasa gelisah setiap kali kita meninggalkan suruhan Allah atau solat dan kita tidak berasa malu selepas melakukan perkara yang dilarang Allah, maka itu tandanya hati kita MATI"

Satu petikan ayat yang diambil dari buku Al-Hikam ul Ata'iyah yang ditulis oleh Ibnu Ata illah Iskandari. Cukup jelas dan mudah untuk kita jadikan panduan dalam menjaga hati kita. Hati yang mati akan menimbulkan rasa seronok dan bahagia apabila kita melakukan perkara yang dilarang Allah. Hati yang nazak, iaitu hati yang separuh hidup separuh mati, akan sentiasa menimbulkan syak wasangka dan ragu-ragu dalam hati setiap kali kita melakukan perkara baik dan buruk. Tetapi, hati yang hidup akan tenang dan aman apabila kita melakukan perkara baik dan berasa gelisah, tidak tenteram apabila kita melakukan perkara jahat.

Macam mana hati rosak?? Apa rawatannya???
Hati ini macam anggota lain juga. Ia akan rosak dan tidak berfungsi apabila ada penyakit! Dalam buku ini, ada menceritakan bermacam-macam jenis penyakit hati. Tetapi, secara keseluruhannya, penyakit hati ini berpunca dari setiap perbuatan kita. Antaranya, sifat takabbur, hasad dengki,riak, marah, menipu dan macam-macam lagi sifat-sifat mazmumah yang membelenggu diri. Setiap sifat ini, lahirnya dari anggota badan kita yang lain, iaitu mata kita, telinga kita dan mulut kita. Mata boleh melihat perkara yang tidak baik, telinga pula mendengar kata-kata dan suara yang jahat, mulut pula mengeluarkan kata-kata yang dilarang dan mampu mengguris perasaan orang lain.
Jika kita mahu memelihara hati kita, maka pertama sekali, peliharalah setiap anggota badan kita dari melakukan perkara yang dilarang Allah. Setiap penyakit, ada rawatannya dan untuk penyakit hati ini, rawatan yang paling berkesan ialah..dengan SENTIASA MENGINGATI DAN MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH.
Mereka ialah orang-orang yang beriman, yang hatinya menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatilah, hanya dengan mengingati Allahlah hati orang mukmin menjadi tenteram
Ar-Ra'du : 28

Penawar dan ubat untuk setiap penyakit adalah dengan kembali kepada Allah, macam dalam lagu 'Ubat Hati' by Opick. :D
Allah yang mendatangkan ujian kepada kita, maka kepadaNya jugalah kita meminta agar dimudahkan setiap ujian yang melanda. Bila kita senang, bersyukurlah atas nikmat yang dikurniakanNya. apabila kita susah, bersabarlah menerima ujian dariNya.




Jadi, insyaAllah, marilah kita bersama-sama menjaga hati kita dari terus mati. Jangan biarkan hati kita terus kotor dengan dosa yang kita lakukan. Satu dialog yang menarik dalam cerita Stanza Cinta..." Jika kita tidak mampu melakukan kebaikan dalam sehari, jadi kurangkan dosa yang kita lakukan". Mengurangkan dosa yang dilakukan, samalah dengan menghilangkan satu titik hitam dalam hati kita. Wallahu'alam..

No comments: